Mengenai KFL

KFL terdiri daripada beberapa rakan projek berlainan yang saling menyokong komponen-komponen pengurusan dan perlindungan taman yang berbeza — menyelaras pelbagai aktiviti perlindungan di kawasan warta, libat urus masyarakat tempatan dan memantau kepelbagaian biologi untuk memastikan perlindungan kawasan Kenyir secara menyeluruh.

Tadahan air ini kaya dengan kepelbagaian biologi, dihuni oleh sekurang-kurangnya 153 spesies mamalia dan lebih dari 316 spesies burung. Ia menyediakan perkhidmatan ekosistem kepada masyarakat tempatan seperti bekalan air bersih, pengurangan kesan banjir, kawalan hakisan tanah, khidmat pendebungaan dan penyebaran biji benih serta sumber perikanan. 

Namun, ia masih berhadapan dengan ancaman pemburuan haram yang besar dan berterusan daripada sindiket negara asing, yang telah dan masih sedang ditangani oleh usaha penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan kawasan tersebut.

Sementara Kerajaan Negeri Terengganu dan Rimba telah berjaya bekerjasama lindungi sebahagian daripada kawasan tadahan Kenyir sebagai Taman Negeri Kenyir, kawasan berhutan yang selebihnya masih diperuntukkan untuk pembangunan. Sebagai mitigasi perubahan iklim, terdapat keperluan mendesak untuk menghentikan penukaran kawasan hutan, bukan sahaja untuk hidupan liar, tetapi untuk kelangsungan kehidupan rakyat Terengganu sekali.

Tasik Kenyir dan kawasan tadahannya memainkan peranan yang penting untuk komuniti Kampung Basung serta kampung-kampung lain sekitarnya seperti Kampung Pasir Dula dan Padang Setebu, di mana penduduknya menyumbang secara langsung kepada industri pelancongan. Kawasan ini juga sangat penting kepada dua komuniti Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan Taman Negeri Kenyir, di mana keseluruhan persekitaran hutan adalah kawasan kehidupan atau ‘territories of life’ di mana mereka aktif memburu, menangkap ikan, mengumpul hasil hutan, dan masih mempunyai kawasan-kawasan tradisional yang penting dalam budaya mereka.

KFL berhasrat untuk menambahbaik penggunaan hutan secara mampan dan mempertingkatkan tanggungjawab menjaga hutan (forest stewardship) oleh komuniti tempatan dengan meningkatkan kapasiti libat urus, pemerkasaan tadbir urus dan pengurusan hutan, sambil menaikkan taraf hidup melalui peningkatan kemahiran, akses kewangan dan peluang pekerjaan.

Mekanisme alternatif perlu dibangunkan untuk melindungi keseluruhan kawasan tadahan Kenyir ‘buat seumur hidup’, sambil menjana insentif ekonomi kepada Kerajaan Negeri. Penambahan perlindungan kawasan hutan kini bergantung pada pembangunan pembiayaan yang mampan. Projek KFL bermatlamat menyalurkan pelaburan untuk mencapai empat hasil utama berikut:

Pemuliharaan kepelbagaian biologi

Pemantapan pengurusan Taman Negeri Kenyir

Mitigasi

perubahan

iklim

Pemerkasaan dan pendidikan bagi masyarakat tempatan